Subscribe:

Ads 468x60px

Thursday 23 August 2012

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)


Ditulis oleh : Khuzaimah Bt Mohd Ali

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) memberi transformasi positif kepada pendidikan di Malaysia.




       Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dilaksanakan secara berperingkat bermula pada awal tahun 2011 adalah transformasi dilakukan Kementerian Pelajaran bagi memastikan sistem pendidikan negara dapat melahirkan modal insan yang berkesan. Sistem PBS juga adalah salah satu usaha membangunkan modal insan secara holistik dengan menekankan penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual, pembudayaan sikap progresif dan pengamalan nilai, etika dan moral yang tinggi. Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan penambahbaikan bagi sistem peperiksaan yang sedia ada iaitu UPSR dan PMR. Sistem pentaksiran yang baru ini telah dirangka dan disusun secara sistematik oleh lembaga peperiksaan Kementerian Pelajaran Malaysia yang mana terdapat buku panduan pengurusan dan pengendalian pentaksiran berasaskan sekolah yang boleh dijadikan panduan untuk mengoperasikan PBS di sekolah rendah dan menengah.

Konsep Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan satu pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif  (emosi dan rohani)  dan psikomotor  (jasmani)  selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Komponen-komponen PBS terbahagi kepada dua bidang iaitu mentaksir bidang akademik dan bukan akademik yang mana bidang akademik terdiri daripada Pentaksiran Sekolah (PS) dan Pentaksiran Pusat (PP), manakala  bidang bukan akademik terdiri daripada Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK). Kedua-dua  bidang ini memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif dan sumatif yang berasaskan sekolah.

Setiap komponen tersebut memainkan peranan yang penting untuk mentaksir murid-murid mengikut bidang yang ditetapkan. Di dalam bidang akademik murid-murid, Pentaksiran pusat (PS) dan Pentaksiran Sekolah (PS)   yang memainkan peranan. Pentaksiran pusat (PS) adalah pentaksiran yang ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor di peringkat sekolah oleh guru berdasarkan tugasan yang dikeluarkan oleh Lembaga peperiksaan dalam tempoh yang ditetapkan mengikut mata pelajaran. Pentaksiran Sekolah (PS) pula adalah pentaksiran yang menjurus kepada bidang akademik yang mana berfungsi sebagai pentaksiran untuk pembelajaran (assessment for learning) dan pentaksiran tentang pembelajaran (assessment of learning). Terdapat dua jenis pentaksiran sekolah iaitu pentaksiran formatif dan pentaksiran sumatif.



Pentaksiran formatif membabitkan proses sepanjang pembelajaran murid menggunakan pelbagai kaedah dalam melapor maklumat selain membuat penilaian sama ada bertulis atau verbal mengenai cara meningkatkan pembelajaran murid.  Guru tidak dibenar membandingkan murid serta meletakkan skala yang menunjukkan kedudukan mereka seperti digunakan sebelum ini. Contoh instrumen yang boleh digunakan ialah lembaran kerja, pemerhatian, kuiz, senarai semak, laporan tugasan, tugasan rumah dan ujian. Manakala Pentaksiran sumatif dilakukan pada hujung pembelajaran dengan membuat pertimbangan dan penilaian prestasi murid dalam meneruskan pembelajaran. Maklumat itu dalam bentuk kualitatif atau kuantitatif mengikut standard ditetapkan sekolah. Contoh instrumen yang boleh digunakan ialah  ujian bulanan dan ujian penggal. Pembaharuan lain ialah segala perkembangan murid dapat dipantau apabila hasil kerja mereka termasuk ujian dan peperiksaan disimpan dalam portfolio. Dokumen portfolio itu merekodkan kegiatan dan pencapaian murid sepanjang sesi persekolahannya untuk rujukan guru dan ibu bapa.

Pentaksiran Sekolah adalah komponen utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana ia berperanan mengukuhkan pembelajaran murid, meningkatkan pengajaran guru serta mampu memberi maklumat yang sah tentang apa yang telah dilaksanakan atau dicapai dalam satu-satu proses pengajaran dan pembelajaran. Pentaksiran ini dilaksanakan oleh guru dan pihak sekolah sepenuhnya bermula daripada aspek perancangan, pembinaan item dan instrumen pentaksiran, pentadbiran, pemeriksaan atau penskoran, perekodan dan pelaporannya. Justeru, pentaksiran ini amat penting  untuk menentukan keberkesanan guru dan pihak sekolah dalam usaha menghasilkan insan yang harmoni dan seimbang. Selain daripada itu, ianya merupakan aktiviti yang berterusan yang menagih komitmen yang tinggi serta hala tuju yang jelas daripada guru dan pihak  sekolah untuk memperkembangkan potensi setiap murid ke tahap maksimum.

Pentaksiran sekolah bercirikan satu pentaksiran yang holistik iaitu mampu memberi maklumat keseluruhan tentang  pencapaian pengetahuan dan kemahiran serta pengamalan nilai murni murid-murid. Disamping aktiviti pentaksiran berterusan iaitu berjalan seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran, pentaksiran sekolah juga bersifat fleksibel iaitu kaedah pentaksiran yang pelbagai mengikut kesesuaian dan kesediaan murid dengan merujuk standard prestasi yang dibina berdasarkan standard kurikulum. Jelas menunjukkan pentaksiran yang dirangka sangat menyeluruh dan memberi banyak kelebihan kepada pendidikan di negara kita walaupun terdapat kekeliruan daripada segelintir para pendidik dan ibu bapa untuk melaksanakan sistem ini di sekolah.

Dalam usaha menjadikan pentaksiran berasaskan sekolah ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, Pentaksiran Rujukan Standard diperkenalkan iaitu menggunakan Standard Prestasi sebagai sumber rujukan oleh semua pihak yang terlibat dalam pendidikan secara langsung dan tidak langsung. Standard Prestasi digunakan untuk melihat  kemajuan dan pertumbuhan pembelajaran serta pencapaian prestasi seseorang murid. Disamping itu, Ia merupakan proses untuk mendapatkan maklumat tentang sejauh mana tahap pengetahuan, pemahaman dan tindakan yang boleh murid-murid lakukan atau telah menguasai apa yang dipelajari berdasarkan pernyataan standard prestasi yang ditetapkan mengikut tahap-tahap pencapaian. Pernyataan Standard diletakkan dalam kategori mengikut Band iaitu Band 1, Band 2, Band 3, Band 4,  Band 5 dan Band 6 yang disusun mengikut hierarki dan dijelaskan dengan deskriptor yang menyatakan tingkah laku terperinci yang boleh diperhati dan diukur dalam menentukan prestasi individu murid-murid.

Salah satu kelebihannya ialah, Pentaksiran ini tidak membandingkan pencapaian seseorang murid dengan murid lain tetapi melapor prestasi murid dalam pembelajaran dengan menerangkan tentang kemajuan dan pertumbuhan murid tersebut dalam pembelajaran berdasarkan pernyataan standard. Justeru, murid-murid akan dinilai secara adil dan saksama sebagai individu dalam masyarakat berdasarkan keupayaan, kebolehan, bakat, kemahiran dan potensi diri tanpa dibandingkan dengan orang lain. Malahan, pihak sekolah juga mampu mendapatkan maklum balas yang lengkap dalam bentuk data kualitatif dan kuantitatif yang merangkumi segala aspek tentang diri seseorang murid itu bagi membolehkan pihak yang bertanggung jawab mengenali, memahami, menghargai, mengiktiraf dan memuliakan anak didik sebagai insan yang berguna, penting dan mempunyai potensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan bangsa mengikut keupayaan dan kebolehan masing-masing. Selain itu, Standard Prestasi juga boleh dijadikan kayu ukur standard pendidikan negara dan sebagai alat untuk membandingkan dengan standard pendidikan negara lain.

Konsep Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) juga menyediakan pentaksiran bagi menilai murid-murid tidak hanya di dalam bidang akademik malah terdapat pentaksiran yang dirangka untuk melihat penglibatan murid-murid di dalam bidang sukan dan kemahiran-kemahiran yang lain. Komponen pentaksiran tersebut terdiri daripada Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK). Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) adalah sebagai panduan untuk menilai aktiviti fizikal dan kesihatan, mengukur penyertaan, penglibatan, prestasi murid dalam pelbagai aktiviti sukan, kokurikulum dan ekstrakurikulum (extra-curricular). PAJSK memerlukan murid melibatkan diri dalam aktiviti bukan akademik sama ada di dalam atau di luar bilik darjah mengikut keupayaan murid dan dibangunkan untuk melengkapi sistem pentaksiran pendidikan di Malaysia  supaya lebih holistik dan bersepadu. Ia juga sejajar dengan konsep Satu Murid Satu Sukan (1M1S), pembangunan modal insan dan perkembangan potensi murid dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Manakala bagi Pentaksiran Psikometrik, dilaksanakan untuk menilai dan mengukur kebolehan semula jadi (innate ability) dan kebolehan yang diperoleh (acquired ability) daripada pengalaman dan persekitaran. Ianya suatu kaedah yang digunakan secara sistematik untuk mengumpul maklumat yang menggambarkan ciri (trait) psikologi yang diukur merangkumi dua komponen utama iaitu aptitud dan personaliti murid. Ujian Aptitud pula terbahagi kepada dua komponen iaitu Ujian Aptitud Am dan Ujian Aptitud Khusus. Yang mana, Ujian Aptitud Am mengukur kebolehan yang menggambarkan kemahiran asas murid secara hierarki juga mengenal pasti kecenderungan murid berdasarkan kriteria tertentu seperti mengenal pasti kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah dan kecenderungan murid. Manakala Ujian Aptitud khusus adalah untuk mendapatkan maklumat khusus tentang struktur kecerdasan serta minat atau kecenderungan murid dalam bidang tertentu. Ujian Aptitud Khusus ini telah menerapkan Teori Kecerdasan Pelbagai yang diperkenalkan oleh Howard Gardner. Yang mana beliau percaya bahawa manusia itu diklasifikasikan pintar cerdas bukan dari cerdas akademik semata tetapi mempunyai sembilan kecerdasan yang lain iaitu verbal, kreativiti, muzik, naturalis, visual, kinestetik, interpersonal, intrapersonal dan logik matematik.

Inventori Personaliti pula ialah satu instrumen yang digunakan untuk mengumpul maklumat tentang sahsiah unik setiap murid. ianya bertujuan membantu mengenal pasti personaliti murid supaya guru dapat menggunakan strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai serta membantu murid dan ibu bapa mengenal pasti personaliti anaknya dan menyedari potensi diri mereka. Disamping itu, pihak sekolah dapat menyediakan profil murid yang lengkap untuk rujukan dan kegunaan dalam pendidikan dan perkembangan individu murid-murid.

Setiap individu yang terlibat dalam pembangunan atau pelaksanaan sistem pentaksiran pendidikan adalah bertanggungjawab menjamin kualiti dan mutu pentaksiran yang dikendalikan. Kualiti hendaklah menjadi tumpuan utama dalam semua aspek dan peringkat pentaksiran. Pentaksiran yang berkualiti akan menghasilkan maklumat yang tepat dan menunjukkan keadaan sebenar tentang tahap pembelajaran murid. Maklumat yang tepat boleh membantu pembuat dan penentu dasar melakukan perubahan bagi tujuan meningkatkan pengajaran dan pembelajaran. Maka dengan itu, kementerian pelajaran juga telah bersiap sedia menyediakan indikator atau petunjuk utama bagi penjaminan kualiti dalam Pentaksiran Berasakan Sekolah ini iaitu kesahan, kebolehpercayaan, kebolehtadbiran dan keadilan. Penjaminan kualiti bagi pelaksanaan PBS pula dapat dicapai melalui proses pementoran, penyelarasan, pemantauan dan pengesanan.

Selain daripada itu, pihak kementerian pelajaran juga telah menyediakan beberapa langkah untuk mengkaji kelemahan dan kebaikan perlaksanaan sistem PBS ini. Antaranya ialah menyediakan sebuah portal rasmi maklumat berkaitan PBS yang terkandung di dalamnya sebuah kajian soal selidik mengenai tahap kesediaan guru melaksanakan PBS. Kajian soal selidik tersebut wajib diisi oleh guru-guru tahun satu, dua, tiga dan tingkatan satu. Ianya bertujuan untuk mendapatkan maklumat kesediaan guru dan dapatan soal selidik tersebut dapat membantu Kementerian Pelajaran Malaysia merangka pelan tindakan penambahbaikan pelaksanaan PBS.


Tuntasnya, jelas terbukti bahawa Pentaksiran Berasaskan Sekolah ini telah dirangka dengan sempurna dan tersusun bagi meningkat dan menjamin mutu pendidikan negara pada masa akan datang. Apa yang penting, setiap perancangan rapi yang telah disusun haruslah berakhir dengan perlaksanaan yang sempurna. Maka PBS ini jika dilaksanakan dengan baik dan terancang, serta mendapat kerjasama yang jitu daripada semua pihak yang terlibat, ianya bakal mewujudkan persekitaran yang harmonis di sekolah untuk perkembangan individu dan pada masa yang sama memberi banyak manfaat serta mampu mengurangkan masalah gejala sosial yang berlaku pada masa sekarang ini selain memberi transformasi yang positif terhadap pendidikan di Malaysia.


0 comments:

Post a Comment