Subscribe:

Ads 468x60px

Thursday 23 August 2012

MUKADIMAH



            








Blog "Aspirasi Kami" ini adalah hasil daripada tugasan kerja projek bagi kursus Falsafah Dan Etika Guru bagi memenuhi keperluan Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu. Kerja kursus ini dilaksanakan bagi menilai kami, pelajar bagi program Diploma Perguruan Lepas Ijazah (DPLI) dan memberi pendedahan serta pengamalan ilmu yang berguna buat kami. Objektif projek ini dijalankan adalah untuk memastikan kami sedar dan mengenalpasti elemen-elemen yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan. Selain itu, membolehkan kami menghuraikan amalan profesionalisme guru dan membuat perkaitan dengan cabaran yang perlu dihadapi oleh guru agar kami dapat bersiap sedia dalam melaksanakan tugas nanti. Disamping itu, memberi pendedahan untuk kami mengenai isu-isu semasa dalam bidang pendidikan masa kini di Malaysia.

  Perubahan dan perkembangan dalam bidang pendidikan di Malaysia bertujuan merealisasikan aspirasi negara. Isu-isu pendidikan di Malaysia merupakan satu agenda yang perlu diberi perhatian terutamanya yang melibatkan masa hadapan generasi muda. Demi memartabatkan sistem pendidikan negara, pelbagai bentuk sistem pendidikan dilaksanakan bagi memenuhi keperluan pendidikan semasa. Isu semasa pendidikan yang perlu ditangani merangkumi pelbagai aspek seperti disiplin dan jenayah, kurikulum, cabaran teknologi pendidikan, organisasi pendidikan dan seumpamanya. 

   Justeru itu, kami telah memilih beberapa isu-isu semasa yang berkait dengan bidang pendidikan di Malaysia. Maklumat yang telah kami kumpulkan, kami bincangkan secara ilmiah beserta pandangan dan hujahan dari fikiran kami sendiri. Diharap penulisan kami ini dapat memberikan aspirasi dan ilmu serta membuka minda kepada golongan pendidik seperti kami untuk terus melaksanakan tanggungjawab secara profesional dan beretika dalam profesian keguruan dengan berlandaskan elemen-elemen yang terdapat dalam Falsafah pendidikan dan mengikut Kurikulum Kebangsaan yang telah ditetapkan. 

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)


Ditulis oleh : Khuzaimah Bt Mohd Ali

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) memberi transformasi positif kepada pendidikan di Malaysia.




       Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dilaksanakan secara berperingkat bermula pada awal tahun 2011 adalah transformasi dilakukan Kementerian Pelajaran bagi memastikan sistem pendidikan negara dapat melahirkan modal insan yang berkesan. Sistem PBS juga adalah salah satu usaha membangunkan modal insan secara holistik dengan menekankan penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual, pembudayaan sikap progresif dan pengamalan nilai, etika dan moral yang tinggi. Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan penambahbaikan bagi sistem peperiksaan yang sedia ada iaitu UPSR dan PMR. Sistem pentaksiran yang baru ini telah dirangka dan disusun secara sistematik oleh lembaga peperiksaan Kementerian Pelajaran Malaysia yang mana terdapat buku panduan pengurusan dan pengendalian pentaksiran berasaskan sekolah yang boleh dijadikan panduan untuk mengoperasikan PBS di sekolah rendah dan menengah.

Konsep Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan satu pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif  (emosi dan rohani)  dan psikomotor  (jasmani)  selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Komponen-komponen PBS terbahagi kepada dua bidang iaitu mentaksir bidang akademik dan bukan akademik yang mana bidang akademik terdiri daripada Pentaksiran Sekolah (PS) dan Pentaksiran Pusat (PP), manakala  bidang bukan akademik terdiri daripada Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK). Kedua-dua  bidang ini memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif dan sumatif yang berasaskan sekolah.

Setiap komponen tersebut memainkan peranan yang penting untuk mentaksir murid-murid mengikut bidang yang ditetapkan. Di dalam bidang akademik murid-murid, Pentaksiran pusat (PS) dan Pentaksiran Sekolah (PS)   yang memainkan peranan. Pentaksiran pusat (PS) adalah pentaksiran yang ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor di peringkat sekolah oleh guru berdasarkan tugasan yang dikeluarkan oleh Lembaga peperiksaan dalam tempoh yang ditetapkan mengikut mata pelajaran. Pentaksiran Sekolah (PS) pula adalah pentaksiran yang menjurus kepada bidang akademik yang mana berfungsi sebagai pentaksiran untuk pembelajaran (assessment for learning) dan pentaksiran tentang pembelajaran (assessment of learning). Terdapat dua jenis pentaksiran sekolah iaitu pentaksiran formatif dan pentaksiran sumatif.



Pentaksiran formatif membabitkan proses sepanjang pembelajaran murid menggunakan pelbagai kaedah dalam melapor maklumat selain membuat penilaian sama ada bertulis atau verbal mengenai cara meningkatkan pembelajaran murid.  Guru tidak dibenar membandingkan murid serta meletakkan skala yang menunjukkan kedudukan mereka seperti digunakan sebelum ini. Contoh instrumen yang boleh digunakan ialah lembaran kerja, pemerhatian, kuiz, senarai semak, laporan tugasan, tugasan rumah dan ujian. Manakala Pentaksiran sumatif dilakukan pada hujung pembelajaran dengan membuat pertimbangan dan penilaian prestasi murid dalam meneruskan pembelajaran. Maklumat itu dalam bentuk kualitatif atau kuantitatif mengikut standard ditetapkan sekolah. Contoh instrumen yang boleh digunakan ialah  ujian bulanan dan ujian penggal. Pembaharuan lain ialah segala perkembangan murid dapat dipantau apabila hasil kerja mereka termasuk ujian dan peperiksaan disimpan dalam portfolio. Dokumen portfolio itu merekodkan kegiatan dan pencapaian murid sepanjang sesi persekolahannya untuk rujukan guru dan ibu bapa.

Pentaksiran Sekolah adalah komponen utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana ia berperanan mengukuhkan pembelajaran murid, meningkatkan pengajaran guru serta mampu memberi maklumat yang sah tentang apa yang telah dilaksanakan atau dicapai dalam satu-satu proses pengajaran dan pembelajaran. Pentaksiran ini dilaksanakan oleh guru dan pihak sekolah sepenuhnya bermula daripada aspek perancangan, pembinaan item dan instrumen pentaksiran, pentadbiran, pemeriksaan atau penskoran, perekodan dan pelaporannya. Justeru, pentaksiran ini amat penting  untuk menentukan keberkesanan guru dan pihak sekolah dalam usaha menghasilkan insan yang harmoni dan seimbang. Selain daripada itu, ianya merupakan aktiviti yang berterusan yang menagih komitmen yang tinggi serta hala tuju yang jelas daripada guru dan pihak  sekolah untuk memperkembangkan potensi setiap murid ke tahap maksimum.

Pentaksiran sekolah bercirikan satu pentaksiran yang holistik iaitu mampu memberi maklumat keseluruhan tentang  pencapaian pengetahuan dan kemahiran serta pengamalan nilai murni murid-murid. Disamping aktiviti pentaksiran berterusan iaitu berjalan seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran, pentaksiran sekolah juga bersifat fleksibel iaitu kaedah pentaksiran yang pelbagai mengikut kesesuaian dan kesediaan murid dengan merujuk standard prestasi yang dibina berdasarkan standard kurikulum. Jelas menunjukkan pentaksiran yang dirangka sangat menyeluruh dan memberi banyak kelebihan kepada pendidikan di negara kita walaupun terdapat kekeliruan daripada segelintir para pendidik dan ibu bapa untuk melaksanakan sistem ini di sekolah.

Dalam usaha menjadikan pentaksiran berasaskan sekolah ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, Pentaksiran Rujukan Standard diperkenalkan iaitu menggunakan Standard Prestasi sebagai sumber rujukan oleh semua pihak yang terlibat dalam pendidikan secara langsung dan tidak langsung. Standard Prestasi digunakan untuk melihat  kemajuan dan pertumbuhan pembelajaran serta pencapaian prestasi seseorang murid. Disamping itu, Ia merupakan proses untuk mendapatkan maklumat tentang sejauh mana tahap pengetahuan, pemahaman dan tindakan yang boleh murid-murid lakukan atau telah menguasai apa yang dipelajari berdasarkan pernyataan standard prestasi yang ditetapkan mengikut tahap-tahap pencapaian. Pernyataan Standard diletakkan dalam kategori mengikut Band iaitu Band 1, Band 2, Band 3, Band 4,  Band 5 dan Band 6 yang disusun mengikut hierarki dan dijelaskan dengan deskriptor yang menyatakan tingkah laku terperinci yang boleh diperhati dan diukur dalam menentukan prestasi individu murid-murid.

Salah satu kelebihannya ialah, Pentaksiran ini tidak membandingkan pencapaian seseorang murid dengan murid lain tetapi melapor prestasi murid dalam pembelajaran dengan menerangkan tentang kemajuan dan pertumbuhan murid tersebut dalam pembelajaran berdasarkan pernyataan standard. Justeru, murid-murid akan dinilai secara adil dan saksama sebagai individu dalam masyarakat berdasarkan keupayaan, kebolehan, bakat, kemahiran dan potensi diri tanpa dibandingkan dengan orang lain. Malahan, pihak sekolah juga mampu mendapatkan maklum balas yang lengkap dalam bentuk data kualitatif dan kuantitatif yang merangkumi segala aspek tentang diri seseorang murid itu bagi membolehkan pihak yang bertanggung jawab mengenali, memahami, menghargai, mengiktiraf dan memuliakan anak didik sebagai insan yang berguna, penting dan mempunyai potensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan bangsa mengikut keupayaan dan kebolehan masing-masing. Selain itu, Standard Prestasi juga boleh dijadikan kayu ukur standard pendidikan negara dan sebagai alat untuk membandingkan dengan standard pendidikan negara lain.

Konsep Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) juga menyediakan pentaksiran bagi menilai murid-murid tidak hanya di dalam bidang akademik malah terdapat pentaksiran yang dirangka untuk melihat penglibatan murid-murid di dalam bidang sukan dan kemahiran-kemahiran yang lain. Komponen pentaksiran tersebut terdiri daripada Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK). Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) adalah sebagai panduan untuk menilai aktiviti fizikal dan kesihatan, mengukur penyertaan, penglibatan, prestasi murid dalam pelbagai aktiviti sukan, kokurikulum dan ekstrakurikulum (extra-curricular). PAJSK memerlukan murid melibatkan diri dalam aktiviti bukan akademik sama ada di dalam atau di luar bilik darjah mengikut keupayaan murid dan dibangunkan untuk melengkapi sistem pentaksiran pendidikan di Malaysia  supaya lebih holistik dan bersepadu. Ia juga sejajar dengan konsep Satu Murid Satu Sukan (1M1S), pembangunan modal insan dan perkembangan potensi murid dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Manakala bagi Pentaksiran Psikometrik, dilaksanakan untuk menilai dan mengukur kebolehan semula jadi (innate ability) dan kebolehan yang diperoleh (acquired ability) daripada pengalaman dan persekitaran. Ianya suatu kaedah yang digunakan secara sistematik untuk mengumpul maklumat yang menggambarkan ciri (trait) psikologi yang diukur merangkumi dua komponen utama iaitu aptitud dan personaliti murid. Ujian Aptitud pula terbahagi kepada dua komponen iaitu Ujian Aptitud Am dan Ujian Aptitud Khusus. Yang mana, Ujian Aptitud Am mengukur kebolehan yang menggambarkan kemahiran asas murid secara hierarki juga mengenal pasti kecenderungan murid berdasarkan kriteria tertentu seperti mengenal pasti kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah dan kecenderungan murid. Manakala Ujian Aptitud khusus adalah untuk mendapatkan maklumat khusus tentang struktur kecerdasan serta minat atau kecenderungan murid dalam bidang tertentu. Ujian Aptitud Khusus ini telah menerapkan Teori Kecerdasan Pelbagai yang diperkenalkan oleh Howard Gardner. Yang mana beliau percaya bahawa manusia itu diklasifikasikan pintar cerdas bukan dari cerdas akademik semata tetapi mempunyai sembilan kecerdasan yang lain iaitu verbal, kreativiti, muzik, naturalis, visual, kinestetik, interpersonal, intrapersonal dan logik matematik.

Inventori Personaliti pula ialah satu instrumen yang digunakan untuk mengumpul maklumat tentang sahsiah unik setiap murid. ianya bertujuan membantu mengenal pasti personaliti murid supaya guru dapat menggunakan strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai serta membantu murid dan ibu bapa mengenal pasti personaliti anaknya dan menyedari potensi diri mereka. Disamping itu, pihak sekolah dapat menyediakan profil murid yang lengkap untuk rujukan dan kegunaan dalam pendidikan dan perkembangan individu murid-murid.

Setiap individu yang terlibat dalam pembangunan atau pelaksanaan sistem pentaksiran pendidikan adalah bertanggungjawab menjamin kualiti dan mutu pentaksiran yang dikendalikan. Kualiti hendaklah menjadi tumpuan utama dalam semua aspek dan peringkat pentaksiran. Pentaksiran yang berkualiti akan menghasilkan maklumat yang tepat dan menunjukkan keadaan sebenar tentang tahap pembelajaran murid. Maklumat yang tepat boleh membantu pembuat dan penentu dasar melakukan perubahan bagi tujuan meningkatkan pengajaran dan pembelajaran. Maka dengan itu, kementerian pelajaran juga telah bersiap sedia menyediakan indikator atau petunjuk utama bagi penjaminan kualiti dalam Pentaksiran Berasakan Sekolah ini iaitu kesahan, kebolehpercayaan, kebolehtadbiran dan keadilan. Penjaminan kualiti bagi pelaksanaan PBS pula dapat dicapai melalui proses pementoran, penyelarasan, pemantauan dan pengesanan.

Selain daripada itu, pihak kementerian pelajaran juga telah menyediakan beberapa langkah untuk mengkaji kelemahan dan kebaikan perlaksanaan sistem PBS ini. Antaranya ialah menyediakan sebuah portal rasmi maklumat berkaitan PBS yang terkandung di dalamnya sebuah kajian soal selidik mengenai tahap kesediaan guru melaksanakan PBS. Kajian soal selidik tersebut wajib diisi oleh guru-guru tahun satu, dua, tiga dan tingkatan satu. Ianya bertujuan untuk mendapatkan maklumat kesediaan guru dan dapatan soal selidik tersebut dapat membantu Kementerian Pelajaran Malaysia merangka pelan tindakan penambahbaikan pelaksanaan PBS.


Tuntasnya, jelas terbukti bahawa Pentaksiran Berasaskan Sekolah ini telah dirangka dengan sempurna dan tersusun bagi meningkat dan menjamin mutu pendidikan negara pada masa akan datang. Apa yang penting, setiap perancangan rapi yang telah disusun haruslah berakhir dengan perlaksanaan yang sempurna. Maka PBS ini jika dilaksanakan dengan baik dan terancang, serta mendapat kerjasama yang jitu daripada semua pihak yang terlibat, ianya bakal mewujudkan persekitaran yang harmonis di sekolah untuk perkembangan individu dan pada masa yang sama memberi banyak manfaat serta mampu mengurangkan masalah gejala sosial yang berlaku pada masa sekarang ini selain memberi transformasi yang positif terhadap pendidikan di Malaysia.


Penggunaan Telefon Bimbit Ke Sekolah.




Ditulis oleh : Nor Najihah Bt Zakaria


Merujuk kepada laporan akhbar dalam laporan khas akhbar Utusan Malaysia bertarikh 21 Februari 2011 - Pelajar bebas guna telefon bimbit. Berita ini mungkin menggembirakan sebahagian ibu bapa kerana memudahkan pihak ibubapa untuk memantau pergerakan anak mereka. Malah terdapat segelintir ibu bapa dan penjaga menyokong tindakan kementerian seiring dengan kemajuan dunia komunikasi sekarang terutama mereka yang tinggal di bandar. Hal ini kerana anak mereka dapat menghubungi ahli keluarga pada bila-bila masa bagi hal-hal kecemasan.

Tidak dinafikan dengan penggunaan gajet memberi faedah antaranya ialah pelajar dapat melaksanakan aktiviti P & P di dalam bilik darjah dengan penggunaan teknologi terkini. Disamping itu juga pelajar boleh mendapat maklumat dengan segera dengan pencarian maklumat di Internet dan melahirkan pelajar-pelajar yang berpengetahuan dalam teknologi tinggi dan maju seiring teknologi sedia ada.
           
Pada pandangan peribadi saya, saya juga tidak bersetuju jika para pelajar dibenarkan untuk membawa telefon bimbit dan "gadget" komputer di sekolah. Hal ini kerana pelajar akan menggunakan telefon bimbit sewenang- wenangnya termasuk semasa proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) berlangsung. Malah kecanggihan alat telekomunikasi yang membolehkan pelajar memuat turun dan merakam video termasuk aksi terlarang akan mengundang gejala sosial yang lebih parah dan masalah disiplin.

Disamping itu juga apabila telefon berada di tangan mereka sepanjang masa sudah pasti guru akan lebih tertekan kerana dikhuatiri pelajar tidak memberi perhatian sepenuhnya semasa belajar kerana leka menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan permainan video serta kemudahan jalinan Internet tanpa wayar di sekolah juga akan mengurangkan tumpuan pelajar terhadap pelajaran kerana mereka boleh mengakses Internet bila-bila masa tanpa sekatan terutama melayari laman sosial Facebook dan Twiter. Komputer dan Internet mungkin akan digunakan sewenang-wenangnya sehingga laman-laman sesawang yang tidak sepatutnya dilayari dapat dicapai, lebih-lebih lagi dikongsikan bersama rakan sekelas.


Selain itu, masalah yang besar juga akan timbul sekiranya berlaku kehilangan dan kecurian telefon serta gajet di sekolah menyebabkan pihak sekolah terpaksa menyelesaikannya. Hal ini kerana tidak semua pelajar yang berkemampuan untuk mempuyai telefon bimbit dan "gadget" komputer yang laindan iniboleh menambah beban serta tumpuan guru dalam proses pengajaran danpembelajaran. Banyak masa guru akan diperuntukkan bagimenangani masalah kecurian ini. Dan penyalahgunaan kamera telefon bimbit untuk tujuan lain seperti merakam adengan seks di sekolah, mengintip pergaduhan dan sebagainya. Baru-baru ini juga kita digemparkan dengan video pergaduhan pelajar perempuan di sekolah dan dimuatnaik di laman sosial, youtube.

            Mutu pendidikan dan pembelajaran akan merosot akibat penyalahgunaan di sekolah. Pelajar yang leka dengan telefon bimbit akan hilang fokus ketika sesi pembelajaran. Akibatnya keputusan peperiksaan merosot bahkan dibimbangi pelajar tersebut  tiada peluang untuk meneruskan pendidikan ke peringkat seterusnya. Kebejatan suasana penggunaan telefon bimbit dalam ruang lingkup golongan yang berstatus pelajar di sekolah hari ini pada tahap yang membimbangkan. Malah pembinaan generasi pewaris negara kelak akan terbantut dan dikhuatiri negara gagal melahirkan generasi yang bakal mewarnai dunia Malaysia kelak.

            Ditegaskan disini  memang tidak wajar membenarkan pelajar membawatelefon bimbit ke sekolah. Ini kerana demi kebaikan pelajar dan pihak sekolah kerana kesan negatif lebih banyak berbanding yang positif. Jika benar ibu bapa mahukan keselamatan anak mereka, cadangan ini mungkin boleh diterima dengan syarat alat telekomunikasi itu diserahkan kepada pihak sekolah atau guru kelas sebaik tiba di sekolah dan mengambilnya kembali apabila tiba waktu pulang. Jika kita toleh ke belakang zaman dulu-dulu boleh berjaya hingga ke menara gading tanpa orang-orang walaupun tidak menggunakan telefon bimbit. Rasanya cukuplah sekadar makmal komputer di sekolah untuk membantu para pelajar untuk mempelajari dan mendalami teknologi terkini di pasaran dengan pantauan guru.

Sunday 12 August 2012

Pendidikan Holistik


Ditulis oleh : Khuzaimah Bt Mohd Ali


Aplikasi Pendidikan Holistik Dapat Menyumbang Kepada Pembangunan Negara.



Pendidikan ialah proses pembangunan insan sepanjang hayat.  Pendidikan adalah salah satu bentuk perwujudan kebudayaan manusia yang dinamis dan sarat dengan perkembangan. Perubahan atau perkembangan pendidikan adalah perkara yang seharusnya dilakukan seiring dengan perubahan budaya kehidupan manusia yang sentiasa berubah-ubah. Perubahan pendidikan yang menuju kearah pendidikan yang jitu, padu dan sempurna pada semua peringkat perlu terus menerus dilakukan sebagai intipati kepentingan masa depan negara. Maka ia tidak boleh diserahkan kepada satu ajensi sahaja. Pendidikan tidak formal dalam masyarakat melalui berbagai saluran dan pendidikan formal disekolah semuanya mempunyai saham tertentu dalam pembangunan modal insan( Kamal Hassan, 1988).

Pendidikan yang mampu mendukung pembangunan di masa hadapan adalah pendidikan yang mampu mengembangkan potensi individu seseorang pelajar dan bukannya menilai individu berasaskan keputusan gred semata-mata, sehinggalah individu tersebut  mampu menghadapi cabaran dan menyelesaikan masalah kehidupan yang bakal dihadapinya. Pendidikan harus menyentuh potensi rohani mahupun potensi kompetensi seseorang pelajar. Mengikut teori Dr. Howard Gardner, beliau menyatakan setiap individu mempunyai kecerdasan dan potensi yang berbeza-beza yang berkaitan dengan berbagai fungsi. Semua kecerdasan tersebut dipergunakan tetapi pada kadar-kadar yang berlainan dan mestilah berada dalam keadaan yang aktif untuk membolehkan proses penjanaan idea-idea baru. Maka teori kecerdasan Gardner ini telah merevolusikan pengajaran dan pembelajaran pada masa kini serta boleh dijadikan panduan untuk perubahan ke arah perkembangan pendidikan negara.

 Justeru, konsep pendidikan haruslah mengalami perubahan seiring dengan perubahan budaya kehidupan manusia.  Apa yang berlaku pada masa kini adalah,masyarakat terlalu berkehendakkan pendidikan yang mampu mengikuti kehendak mereka dimana pendidikan tidak lagi dipandang sebagai suatu wadah yang mampu membina keutuhan masyarakat, kerana Semua ini berlaku akibat sentimen kebendaan yang semakin menular akibat daripada pengaruh sekularisma dan arus perubahan globalisasi ( Edupres Jurnal, 2011). Bertitik tolak dari inilah terasa semakin penting apabila seseorang pelajar yang akan membesar memasuki kehidupan bermasyarakat dan berkerjaya, kerana mereka harus mampu menerapkan apa yang dipelajari di sekolah untuk menghadapi masalah dan cabaran yang dihadapi dalam kehidupan sehari-hari mereka mahupun yang akan datang.

Pendidikan merupakan proses sistematik untuk meningkatkan martabat manusia secara holistik. Justeru itu, kerajaan haruslah mengambil satu langkah baru sebagai inisiatif untuk melakukan perubahan dalam bidang pendidikan. Ditambah pula dengan sejarah menunjukkan sistem pendidikan negara kita sudah lama tidak dirombak iaitu sejak 1979 lagi. Rombakan menyeluruh dasar pendidikan yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini memberi seribu satu makna kepada sistem pendidikan negara pada masa akan datang. Pada asasnya, sistem pendidikan negara tidak boleh sesekali statik, sebaliknya perlu sentiasa dinamik mengikut keperluan pada masa kini dan hadapan. Untuk merealisasikan dasar pendidikan yang baru ini, satu langkah harus dibuat iaitu dengan menerapkan pendidikan secara holistik bersama-sama dengan pendidikan arus perdana yang tersedia ada bagi mempersiapkan pelajar untuk menghadapi cabaran seharian dan masa hadapan mereka.

Kajian yang dilakukan oleh Tonia T. Lennox dalam tesis beliau yang bertajuk “ Education Towards Integration: AnAlternative Programme, 2009 ” menyatakan, sistem pendidikan yang lama haruslah mengalami perubahan dalam menghadapi cabaran globalisasi pada masa kini. Beliau berpendapat pendidikan secara holistik amat membantu dimana pendidikan ini menekankan aspek matlamat seseorang individu, pembelajaran melalui pengalaman serta, nilai sensitiviti perhubungan sesama manusia dan alam sekitar. Manakala berbeza dengan Kaedah pendidikan tradisional, digambarkan sebagai yang dikawal oleh kalendar dan jadual waktu, di mana peluang kepada pelajar adalah terhad serta menggalakkan kaedah pembelajaran hafalan buku teks atau lembaran kerja berjilid dan berpusatkan guru.

Ini amat bertepatan dengan pendapat berdasarkan daripada satu rencana yang penulis baca dari Utusan Malaysia bertarikh 20 Mac 2012, bertajuk “ Kearah sistem pendidikanHolistik “ yang dikarang oleh Rohami Shafie, Pensyarah Kanan di Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia. Beliau menyatakan  bahawa masih terdapat kelemahan dalam sistem pendidikan negara. Paling ketara sistem pendidikan negara terlalu menumpukan aspek kejayaan meritokrasi melalui penilaian berasaskan peperiksaan semata-mata dengan meminggirkan aspek akhlak mulia para pelajar. Beliau berpendapat perkara inilah yang perlu dikaji sedalam-dalamnya dan bukan sekadar melahirkan generasi muda yang dikatakan amat berjaya mengikut acuan sistem meritokrasi sedia ada. Beliau mengesyorkan agar sistem meritokrasi ini dikaji secara menyeluruh kerana tidak mustahil ia boleh membawa bahana kepada negara. Dengan menerapkan sistem pendidikan yang lebih holistik dan menyeluruh kelemahan sistem pendidikan negara yang ada sekarang dapat dikurangkan dan diatasi secara tidak langsung. Ini kerana pendidikan holistik merupakan suatu konsep yang memastikan setiap individu merasai dan menikmati kehidupan mereka serta menghargai dan menilai semula pembelajaran, potensi dalaman seperti kecerdikan, kreativiti dan nilai-nilai kerohanian.

Pendidikan holistik adalah satu bidang pendidikan yang sangat mendalam untuk dikaji. Terdapat ramai tokoh-tokoh pendidikan yang membahaskan dan mencetuskan pendapat dalam konsep pembelajaran secara holistik ini. Antaranya ialah Ron Miller(2005), beliau berpendapat pendidikan holistik merupakan suatu falsafah pendidikan yang terwujud daripada pemikiran bahawa pada dasarnya seorang individu dapat menemukan identiti, makna dan tujuan hidup melalui hubungannya dengan masyarakat, lingkungan alam, dan nilai-nilai spiritual. Jelas beliau juga pendidikan holistik ini berkeupayaan menanam kecintaan terhadap pembelajaran. Secara historis, pendidikan holistik sebenarnya bukan perkara yang baru. Pendidikan holistik berkembang sekitar tahun 1960-1970 akibat daripada keprihatinan terhadap krisis ekologi,pencemaran nuklear, kimia dan radiasi, serta kehancuran keluarga dimana hilang dan hancurnya nilai-nilai tradisional serta institusinya.

Tujuan pendidikan holistik adalah membantu mengembangkan potensi individu dalam suasana pembelajaran yang lebih menyenangkan dan menggairahkan, demoktarik dan menerapkan nilai-nilai kemanusiaan melalui pengalaman dalam berinteraksi dengan persekitarannya. Melalui pendidikan holistik juga, pelajar diharapkan dapat menjadi dirinya sendiri dalam erti kata lain dapat memperolehi kebebasan psikologi, mengambil keputusan yang baik, belajar melalui cara yang sesuai dengan dirinya, memperoleh kecekapan sosial, serta dapat mengembangkan karakter dan emosionalnya (Basil Bernstein, 2000). Pendidikan holistik sebenarnya membabitkan pelbagai aspek seperti proses pembelajaran, cara berfikir, kemahiran berkomunikasi, proses pengajaran lebih menarik seperti menerusi permainan dan pengendalian aktiviti luar, disiplin diri, keyakinan diri, tanggungjawab, pemikiran kreatif dan kebolehan menyelesaikan masalah.
 
Hasil pembacaan dan pengamatan penulis, boleh dirumuskan bahawa terdapat elemen-elemen yang terkandung dalam pendidikan holistik di mana pendidikan ini menitikberatkan kepada potensi setiap individu dari aspek kepandaian, emosi, sosial, fizikal, kesenian, kreatif dan keupayaan rohani. Jelas menunjukkan bahawa, pendidikan holistik ini masih sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan Malaysia yang mana pendidik perlu berusaha memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis daripada segi intelek, rohani, emosi, sosial dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan.

Hujahan ini dapat disokong lagi dengan laporan yang penulis baca daripada laporan berita pendidikan Berita Harian, bertajuk “ Pendidikan Holistik “ yang diberitakan oleh wartawan Noor Azlina Zainudin.  Rangkuman maklumat berita tersebut beliau perolehi di Perbincangan Meja Bulat Mengenai Pendidikan Holistik anjuran Institusi Pendidikan Kanak-kanak dan Remaja, WynKids di Kota Damansara. Panel-panel yang terlibat di dalam perbincangan ini rata-rata berpendapat bahawa sistem pendidikan negara sekarang adalah berasaskan peperiksaan dan perlu diperbaiki. Situasi yang berlaku mengakibatkan pelajar diarah mendengar penerangan guru dalam kelas, bukan bertanya apabila tidak faham. Keadaan ini menyebabkan pelajar berasakan bertanya soalan adalah satu kesalahan dan mereka cuma perlu mendengar, mengumpul seberapa banyak pengetahuan termasuk menunggu maklumat. Apabila berada di institusi pengajian tinggi, mereka terpaksa bekerja keras mencari maklumat sendiri, tanpa bantuan guru. Justeru, sebahagian besar pelajar tidak mampu berdikari dan akhirnya menemui kegagalan.

Justeru, menurut mereka, hanya pelaksanaan pendidikan holistik pada peringkat awal mampu melahirkan generasi muda serba boleh dan membantu perkembangan keseluruhan pelajar dalam pelbagai aspek dan bukan sekadar kecemerlangan akademik. Pelaksanaan pendidikan secara holistik perlu membabitkan penyertaan pelbagai pihak termasuk pelajar, guru, ibu bapa, masyarakat dan kerajaan sebagai usaha memastikan generasi muda memperoleh manfaat sepenuhnya. Ini kerana pendidikan holistik atau menyeluruh bukan menekankan kecemerlangan akademik semata-mata tetapi membabitkan perkembangan dan peningkatan potensi lain dalam diri setiap pelajar.  

Selaras dengan dasar pendidikan yang baru diumumkan kerajaan, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), Pelan Integriti Nasional (PIN) dan seperti yang dihasratkan dalam Misi Nasional. satu langkah yang boleh dibuat ialah dengan menerapkan pendidikan secara holistik bersama-sama dengan pendidikan arus perdana yang tersedia ada. Penulis amat bersetuju dengan langkah awal yang dilaksanakan oleh kerajaan memperkenalkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi menggantikan sistem peperiksaan sedia ada yang juga sebahagian daripada Program Transformasi Pendidikan. Ini kerana Sistem PBS adalah salah satu usaha kerajaan melalui Kementerian Pelajaran membangunkan modal insan secara holistik dengan menekankan penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual, pembudayaan sikap progresif dan pengamalan nilai, etika dan moral yang tinggi. PBS merupakan satu pentaksiran bersifat holistik yang dianggap berkemampuan menilai aspek kognitif (intelek), efektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

Selaian daripada itu, Untuk mengubah sistem pendidikan sedia ada kepada pendidikan holistik, metodologi pengajaran sangat penting dan guru perlu dilatih melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran membabitkan penyertaan pelajar secara aktif, bukan sekadar pendengar dan menghafal apa yang diajar. Justeru, kurikulum yang dirancang juga harus diarahkan untuk mencapai tujuan pembentukan manusia secara holistik. Pendidikan holistik dapat diaplikasikan dalam proses pembelajaran dengan beberapa cara, diantaranya dengan menerapkan Integrated Learning atau pembelajaran terintergrasi atau terpadu iaitu suatu pembelajaran yang menggabungkan berbagai elemen yang berkaitan holistik dalam satu bidang pembelajaran. Tujuan pembelajaran ini adalah agar pelajar memahami kaitan di antara satu elemen dengan elemen lainnya, iaitu antara satu mata pelajaran dengan mata pelajaran lain yang boleh diaplikasikan dengan pengalaman hidup mereka.  

Dalam pendidikan holistik, guru juga harus memainkan peranan utama mereka dengan mengubah sifat yang hanya memimpin dan mengawal, tetapi harus menunjukkan sikap sebagai kawan, mentor, fasilitator, atau seorang teman yang berpengalaman kepada pelajar mereka (Forbes, 1996). Kesinambungannya, guru juga harus mengajar mengikut metodologi pembelajaran yang berbeza dan berpusatkan murid. Kerana cara pembelajaran setiap individu adalah berbeza. Dengan itu, metodologi pengajaran juga perlulah bersesuaian dengan keupayaan setiap individu bagi membantu mereka memperolehi pengalaman, kebijaksanaan dan keyakinan diri dalam menghadapi cabaran di masa hadapan. Tambahan pula, sektor pekerjaan juga memerlukan warga mahir yang bukan saja memiliki pengetahuan tetapi individu bersifat holistik yang mampu menyelesaikan permasalahan selain boleh berinteraksi dengan baik dan bekerjasama dalam satu kumpulan. Walaubagaimanapun, Sekolah ataupun institusi pendidikan juga hendaklah menjadi tempat pelajar dan guru bekerja secara kondusif agar mencapai tujuan yang saling menguntungkan. Di mana, dapat mewujudkan suasana komunikasi yang terbuka dan jujur, serta menghargai perbezaan individu yang wujud dan mengutamakan sifat kerjasama berbanding sifat untuk bersaing.

Pendidikan holistik juga menganjurkan beberapa strategi yang boleh dijadikan panduan untuk menangani persoalan bagaimana untuk mengajar seseorang dan bagaimana seseorang itu belajar. Idea holistik itu sendiri menyokong kepada pendidikan yang dilaksanakan secara transformasi bukannya melihat pendidikan sebagai satu proses penghantaran ilmu  dan penerimaan ilmu semata-mata. Pembelajaran transformasi melibatkan perubahan yang dapat dijana oleh pemikiran pelajar itu sendiri. Perubahan ini dipengaruhi oleh pandangan mata , tabiat minda, dan persepsi mereka terhadap dunia. Dengan erti kata mudah, pelajar dapat menjana ilmu, nilai-nilai murni dan pengalaman pembelajaran yang mereka terima dan mengaplikasikan dengan kehidupan harian mereka.  Dengan itu dapat disenaraikan beberapa perkara yang boleh dipertimbangkan dalam mengembangkan strategi pembelajaran holistik, antaranya ialah menggunakan pendekatan pembelajaran transformatif, prosedur kurikulum pembelajaran yang fleksibel, penyelesaian masalah melalui lintas disiplin ilmu, pembelajaran yang bermakna dan, pembelajaran yang melibatkan persekitaran individu itu berada.

Secara keseluruhannya, perubahan haruslah dilakukan untuk mencapai satu sistem pendidikan yang dapat melahirkan insan yang tabah menghadapi cabaran, bertamadun, serta mampu mendukung pembangunan di masa hadapan, berakhlak mulia, mempunyai sifat kerohanian yang tinggi dan nilai-nilai moral masyarakat. Justeru itu, untuk melestarikan sistem pendidikan yang sedia ada, tindakan harus diambil dengan mewujudkan pembelajaran yang mampu mengembangkan potensi indidivu berbanding akademik semata-mata. Pengajaran dan pembelajaran secara menyeluruh dan holistik yang diterapkan di dalam sistem pendidikan negara secara tidak langsung dapat membantu mengatasi kebejatan sosial masyarakat Malaysia. Selain itu, pendidikan holistik yang dilaksanakan secara bersepadu membantu negara melahirkan golongan yang bukan terpelajar, tetapi juga mempunyai pakej lengkap sekali gus penyumbang ke arah pembangunan negara.

Salah laku pendidik


Ditulis oleh : Hamizah Bt Abd Razak

Matlamat utama pendidikan di Malaysia ialah untuk menampung keperluan tenaga kerja dan mencapai perpaduan negara melalui perkembangan individu yang bersepadu dan menyeluruh dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial  (JERIS) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Bagi menyempurnakan hasrat FPK ini, para guru telah diamanahkan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik bukan sahaja dari segi penyebaran ilmu bahkan dalam pembentukan sahsiah anak didiknya. Generasi yang berilmu dan berakhlak tinggi dapat melahirkan bangsa yang bertamadun. Pihak pentadbir dan perancang sentiasa mengharapkan agar guru mempunyai cita-cita unggul iaitu membina masyarakat yang bertamadun tinggi. Apabila FPK dihayati, guru harus sedar bahawa mereka sebenarnya memikul tanggungjawab yang amat berat. Guru perlu mencurahkan ilmu sama ada pelajarnya mahu atau tidak mahu menerimanya.Di samping itu mereka harus peka dengan perubahan semasa dan menyesuaikannya secara bijak bagi menangani masalah pengajaran dan pembelajaran terutama yang berkaitan dengan disiplin pelajar. Pada amnya, guru seharusnya pakar atau profesional dalam segala bidang. Untuk menjadi guru yang profesional, seseorang guru itu perlu menekankan tiga aspek penting dalam dirinya iaitu kepakaran, pengetahuan dan pembentukan sahsiah (Robiah, 1998).
       Guru bukan sahaja berkemahiran mengajar dan mengembangkan ilmu, malah sikap, tingkah laku dan disiplin diri harus dibentuk ke arah profesional. Kementerian Pendidikan telah berusaha sejak dari dulu lagi untuk menjadikan bidang perguruan ini sebagai satu kerjaya yang profesional. Laporan Suruhanjaya Diraja mengenai Perkhidmatan Perguruan Malaysia Barat (Laporan Aziz, 1971), telah mencadangkan supaya diadakan Etika Profesion Perguruan (EPP) bagi Pembentukan Tatasusila Guru. Semua guru yang telah memperolehi sijil perguruan perlu mematuhinya. Namun begitu, sehingga ke hari ini masih mendengar berita-berita yang tidak menyenangkan baik dari segi tindakan atau hukuman terhadap pelajar yang melampau mahupun salah laku guru sendiri yang mencalar kewibawaan profesion perguruan ini. Dalam usaha untuk memastikan martabat pendidikan terus terpelihara dan tidak terpinggir dalam perubahan arus zaman. Etika Profesion Perguruan harus dikaji semula. (Najib, 1971).
   Pengamalan EPP dalam kalangan guru adalah penting demi memartabatkan profesion perguruan supaya sentiasa dipandang mulia oleh masyarakat. Kejayaan dan pencapaian matlamat pendidikan berkait rapat dengan kesedaran guru terhadap tanggungjawabnya sebagai pendidik selaras dengan EPP yang telah termaktub dalam ikrar seperti berikut;
“Kami guru Malaysia, yakin bahawa tujuan utama pendidikan ialah berusaha menuju ke arah pembentukan warganegara yang berilmu, taat setia, bertanggungjawab dan berkebolehan....
... dengan menyedari betapa besarnya tanggungjawab bimbingan anak muda untuk mencapai kemajuan  sepenuh-penuhnya, maka dengan ini kami menerima tatasusila berikut sebagai panduan.”
Dari penyataan ikrar dan kod EPP di atas, guru sesungguhnya mempunyai beban yang berat untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dan berketerampilan.

 
Salah laku Guru
Hukuman terhadap  murid
  Kejayaan dan keberkesanan pendidikan banyak berkait rapat dengan kesedaran, keinsafan dan tanggungjawab guru sebagai pendidik, di samping mempunyai kelengkapan keilmuan yang cukup dan sahsiah luhur.  Segala panduan dan kemahiran disertai keluhuran budi serta peribadi tidak  terpisah daripada seseorang guru.  Begitulah sewajarnya guru sebagai pendidik yang berkesan.  Mereka adalah contoh dan teladan untuk murid, pelajar dan masyarakat.

   Namun sejak akhir-akhir ini kita dihidangkan tentang berita mengenai guru mencederakan pelajarnya dengan alasan yang tidak munasabah seperti datang lewat ke sekolah, tidak membawa buku latihan, tidak menyiapkan kerja sekolah dan beberapa kesalahan kecil yang lain yang dilakukan oleh pelajar. Kita sedar bahawa guru bertindak sedemikian kerana ingin mendidik pelajar supaya pelajar tidak lagi mengulangi kesalahan yang sama tetapi perbuatan guru yang mendenda pelajar dengan keterlaluan sehingga mendatangkan kecederaan yang serius merupakan satu tindakan yang melampau malah turut menimbulkan kemarahan ibu bapa. Kesannya, bukan sahaja imej guru tersebut yang tercalar malahan imej profesion keguruan turut menerima tempiasnya.
   Cabaran dalam bidang pendidikan kini semakin besar dan mencabar. Tanggungjawab seorang guru semakin bertambah kerana guru bukan sahaja sebagai pendidik tetapi turut menjaga murid di sekolah.  Bebanan guru makin banyak turut menuntut kesabaran serta ketanggungjawaban yang amat hebat.  Kalau dulu guru sering diagung-agungkan dan disanjungi sebagai insan yang terhormat oleh para pelajar, ibu bapa dan masyarakat seluruhnya. Namun, hari ini sering kita dengar sebahagian besar pelajar sekolah tidak menghormati guru mereka.  Guru-guru diperlekehkan oleh ibu bapa pelajar yang mempunyai taraf hidup yang agak baik.  Guru-guru disaman atas kesalahan yang tidak setimpal dengan pengorbanan yang diberi. Rasa hormat murid semakin pudar bersama keangkuhan ibu bapa yang tidak menitikberatkan pelajaran dan menunding jari kepada guru di atas  kesalahan, kealpaan  dan ketidakprihatinan mereka  sendiri dalam mendidik anak-anak.  Guru sudah hilang kuasa dalam mendidik melalui rotan kerana ibu bapa pada masa kini yang terlalu memanjakan anak-anak.
   Pada pandangan saya, sewajarnya ibu bapa  akur tugas guru bukan hanya mengajar mata pelajaran untuk lulus peperiksaan, tetapi turut mendidik pelajar menerusi penerapan nilai-nilai murni, selain jati diri, disiplin serta sahsiah terpuji.  Namun begitu, kebanyakan ibu bapa mengutamakan kecemerlangan akademik semata-mata dan bukan sahsiah yang baik menyebabkan anak mereka tidak boleh ditegur walaupun melakukan kesalahan.  Corak pendidikan pada suatu ketika dahulu yang begitu tegas sehinggakan murid takut untuk meniru, tidak menyiapkan kerja sekolah apatah lagi datang lewat ke sekolah. Suatu ketika dahulu, sekiranya ada murid melakukan kesalahan murid-murid akan mendapat ganjaran dan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukan.
    Namun, sedarkah kita didikan guru pada masa lalu yang membentuk masa depan kita pada hari ini? Kerana rotan cikgu, saya berjaya. Tindakan tegas seorang guru hanyalah untuk mendidik anak didiknya supaya berjaya di masa hadapan. Ibu bapa pada ketika itu menyerahkan kuasa merotan kepada guru-guru untuk membentuk anak-anak mereka. Kalau kita menyoroti peristiwa lampau, tidak ada kes yang melibatkan guru menampar dan menyepak murid. Malah, tiada kes guru disaman pun pada ketika itu walhal murid yang nakal selalu dirotan di sekolah.
    Pada pengamatan saya, ibu bapa pada hari inilah memainkan peranan penting dalam mencorak perubahan tingkah laku murid-murid di sekolah. Tindakan ibu bapa yang menyorok kesalahan anak menyebabkan murid tidak takut untuk melakukan kesalahan kerana ibu bapa boleh bertindak sebagai pembela.
    Terdapat juga ibu bapa yang tidak dapat menerima hakikat bahawa anak mereka  bersalah dan tidak mengakui kesilapan yang telah dilakukan. Ibu bapa seharusnya perlu berbincang terlebih dahulu dan jangan terburu-buru menyerang pihak sekolah atau membuat pendedahan pada media.  Mendidik anak perlu mengikut peredaran masa dan guru perlu menghukum pelajar yang melakukan kesalahan dengan bijaksana.Hukuman yang dikenakan adalah proses mendidik dan bukan memalukan pelajar, sekali gus memberi keinsafan dan kesedaran terhadap salah laku yang dilakukan.
Punca Berlaku Masalah Ini
Setiap perkara yang berlaku pasti ada punca atau penyebab berlakunya sesuatu perkara. Guru juga manusia biasa yang mempunyai tahap kesabaran yang berbeza. Guru bertindak diluar batasan juga berpunca dari sikap ibu bapa yang terlalu membela anak sehinggakan di sekolah juga pelajar berani melanggar peraturan dan arahan guru, tidak menghormati guru kerana sikap pembela ibu bapa yang tidak bertempat. Keadaan ini akan memberi tekanan kepada perubahan sikap seorang guru daripada seorang guru yang lemah lembut menjadi pembengis di sekolah.
   Selain itu, tekanan kerja merupakan kedua yang menyebabkan guru melakukan kesalahan yang boleh mencalarkan imej guru. Tugas guru bukanlah satu tugas yang mudah untuk dipikul. Tuntutan kerja merupakan tuntutan yang berat lebih-lebih lagi menjadi guru pada zaman teknologi dan dunia tanpa sempadanini. Tugas guru bukan hanya mendidik, mengajar dan membimbing pelajar. Selain daripada itu, guru juga banyak menerima tekanan daripada ibu bapa, masyarakat, kerajaan, pertubuhan, pihak atasan dan juga masalah peribadi. Masyarakat melihat tugas guru adalah mudah, masa kerja yang pendek dan banyak cuti. Guru pula berasa beban kerja yang terlalu banyak sehingga membawa ke bilik tidur. Kerja lebih masa yang tidak dihargai. pandangan dan persepsi yang berbeza akan menyebabkan segelintir guru kecewa. Tekanan yang diterima ini akan menyebabkan guru cepat melenting dan melepaskan kemarahan terhadap pelajar.

   Sesungguhnya profesion keguruan yang merupakan profesion tertua di dunia, kini memasuki satu lagi era baru.  Dulu peranan utama guru ialah sebagai penyampai pengetahuan.  Gurulah yang banyak bercakap dan menyoal.  Bagaimanapun kini, peranan guru lebih penting sebagai pemudah cara dalam proses pembelajaran.  Sebagai pemudah cara, guru perlu lebih sedia dan peka melahir dan menggunakan situasi-situasi pembelajaran secara cekap dan berkesan.  Murid perlu selalu digerak untuk berfikir secara kreatif dan kritikal.  Malahan, murid dijangka dapat menyoal guru serta membantu guru membuka luas pintu pembelajarannya.  Dahulu, punca pengetahuan adalah dalam bentuk bertulis.  Sekarang, lebih banyak bilik darjah ditukar menjadi bilik darjah bestari yang membolehkan pelajar menggunakan komputer untuk mencari lebih banyak pengetahuan dan maklumat.  Bagaimanapun, kehadiran guru penting untuk membimbing pelajar membuat pilihan ilmu dan maklumat yang betul.
   Selain itu, guru harus berperanan untuk mengenal pasti dan membangunkan potensi diri pelajar.  Peranan guru ini amat penting dalam menentukan corak pembangunan sesebuah negara.  Kita perlu sedar,  kejayaan negara sehingga kini, sebahagian besar adalah hasil sumbangan kerjaya keguruan.  Ini kerana persediaan bagi pengeluaran  tenaga kerja negara di semua sektor bermula dari sekolah yang sudah pastinya memerlukan khidmat dan jasa guru.  Guru juga adalah model manusia   berkelakuan baik.  Guru mesti bebas daripada bersikap negatif dan sempit daripada aspek bangsa, kelas, sosial dan kedaerahan.



Pendidikan dalam ICT


Ditulis oleh : Nor Najihah Bt Zakaria 



Pengintegrasian ICT Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran





Merujuk kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran menggunakan komputer sebagai bahan bantu mengajar dan komputer merupakan aplikasi teknologi komputerdalam pendidikan. Komputer digunakan sebagai alat untuk membantu dan memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran. Contohnya komputer dapat menghasilkan bahan pengajaran yang menarik dan terkini  serta menyimpan rekod. Dengan itu, pengajaran menjadi mudah dan pembelajaran dan pemahaman pelajar menjadi lebih berkesan. Malahan maklumat-maklumat boleh disimpan di dalam disket, CD, memori kad, dan dapat dibuka bila masa diperlukan.

Penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran dianggap sebagai satu inovasi dalam pendidikan di mana inovasi ini merupakan satu perkara baru kepada pendidik. Di dalam suatu kajian Program Latihan Guru Sekolah Bestari dan Impaknya terhadap Pembelajaran Pelajar yng dibuat oleh Mohammad Sani et al (2001) telah ditadbirkan kepada 882 orang guru bestari dan 2689 orang pelajar di 70 buah Sekolah Bestari. Dapatan kajian menunjukkan bahawa antara kekangan yang mempengaruhi guru-guru dalam melaksanakan P&P bestari ialah beban tugas (84.9%), peruntukan kewangan (80.9%), desakan peperiksaan (87.6%), faktor masa (84.8%), tuntutan sukatan pelajaran (84.3%), aspek pengupayaan (76.1%), aspek faktor sokongan pihak pengurusan sekolah (71.8%), kemudahan dan peralatan sekolah (79.2%), aspek pelbagai arahan daripada pihak atasan (77.6%), aspek faktor murid (68.8%), aspek kerjasama rakan sejawat (66.3%) dan aspek sokongan daripada Pegawai Pendidikan Daerah (54.5%). Dapatan kajian ini menjadi panduan dalam inovasi untuk melaksanakan pengintegrasian komputer dalam pengajaran Sains dan Matematik yang turut diselubungi dengan berbagai isu , dan isu-isu yang dikenalpasti dikategorikan kepada empat faktor.


Faktor pertama ialah dari sudut sekolah, terutamanya peranan dan sikap pengetua dan sikap pihak pengurusan yang lain sekolah seperti(pengetua/guru besar, penolong kanan) adalah kritikal terhadap pembentukan dasar dan amalan diperingkat sekolah. Mereka adalah penggerak yang boleh memotivasikan setiap guru supaya mempunyai misi dan objektif yang sama untuk meningkatkan kualiti pendidikan sekolah. Perkara-perkara penting yang perlu diberi perhatian adalah pengurusan masa , sumber dan sokongan serta galakan moral kepada kakitangan atau guru yang memainkan peranan penting. Sikap pengetua atau guru besar dan pentadbir pada tahap yang tidak membanggakan, sikap sebegini akan melemahkan kesungguhan guru-guru yang mungkin telah bersedia menghadapi cabaran perubahan. Pengetua atau pentadbir yang tidak perihatin akan keperluan masa depan akan menyebabkan organisasi pendidikan ketinggalan.

Faktor kedua ialah Guru. Dimana pelbagai aspek akan dipertimbangkan antaranya ialah persepsi guru terhadap kepentingan komputer. Pada tahun 2001 di semua sekolah Bestari seluruh negara mendapati walaupun guru bersedia membuat perubahan dengan mengintegrasikan teknologi maklumat tetapi ada juga yang tidak bersedia membuat perubahan kerana yakin P&P konvensional relevan dengan sistem peperiksaan. Sekolah-sekolah lebih mementingkan pencapaian keputusan peperiksaan yang cemerlang. Pada dasarnya jika keputusan peperiksaan yang diperolehi setiap tahun cukup baik dan cemerlang pada tanggapan guru mengapa harus kita mengubah apa yang telah sedia baik untuk pelajar. Dengan sikap sebegini adalah sukar bagi perubahan dilakukan dengan berkesan. Kesedaran perlu ditumbulkan terlebih dahulu.

Terdapat juga guru yang risau untuk menghadapi perubahan. Jadi sikap inilah perlu dihakis. Selain daripada sikap yang tidak menganggap ICT itu penting terdapat juga guru-guru yang risau untuk mengguna peralatan ICT itu sendiri. Menurut Zoraini(1998), terdapat tiga jenis kerisauan yang dihadapi oleh guru-guru dalam penggunaan komputer iaitu takut sekiranya rosak apabila disentuh peralatan tersebut, takut kerana mereka merasakan tidak berupaya mempelajari teknologi tinggi iaitu tahap inferior yang tinggi dan ada guru yang risau sekiranya sekolah mengarahkan guru yang tahu dan mahir komputer membuat segala tugas yang memerlukan penggunaan komputer, dengan perasaan risau sebegini adalah lebih mudah bagi mereka menolak terus perubahan.

Seterusnya masa dan beban tugas guru mengintegrasikan komputer dalam pengajaran memerlukan masa yang banyak bagi guru-guru menyediakannya (Plomp, Brummelhuiz dan Pelgrum(1997)). Persediaan diperlukan termasuk dari aspek menyediakan bahan mengajar serta untuk menyediakan bahan pada komputer sebelum kelas dimulakan. Dengan bilangan waktu mengajar yang banyak, sesetengah guru mempunyai bilangan waktu mengajar sebanyak 27 waktu seminggu, adalah sukar bagi guru untuk membuat persediaan mengajar di sekolah dan juga untuk menyediakan bahan mengajar dimakmal komputer.

Guru-guru juga mempunyai beban tugas lain selain daripada mengajar yang akan mengambil masa semasa waktu persekolahan seperti guru jadual waktu, setiausaha peperiksaan, ketua-ketua panitia, selepas waktu persekolahan seperti sukan, aktiviti persatuan, mesyuarat-mesyuarat daerah, PIBG, kursus-kursus jangka panjang dan pendek. Situasi ini akan menyukarkan guru untuk melakukan persediaan yang mantap terutama jika mereka perlu menyediakan bahan sendiri, sebagai contoh jika guru perlu mendapatkan bahan dari internet dan untuk memilih bahan yang sesuai kadang-kadang mengambil masa berjam-jam.

Penghasilan bahan pengajaran pembelajaran berasaskan kaedah bestari memerlukan masa yang lama kerana penghasilan bahan perlu dibuat dengan teliti supaya bahan tersebut berupaya membolehkan pelajar dapat berfikir dengan kritis dan kreatif, berupaya membuat penerokaan sendiri pada kadar kendiri dan mampu memajukan diri sendiri (self access, self pace and self excel). Bahan-bahan pengajaran atau dalam bestari disebut sebagai pakej pembelajaran juga menitik beratkan kepelbagaian kecerdasan pelajar, keadaan ini secara tak langsung memerlukan persediaan yang teliti dan masa yang lama dalam membina pakej-pakej pembelajaran tersebut.
 
Penting juga guru perlu ada kemahiran komputer dan Pengetahuan penggunaan komputer dalam P&P. Pengajaran dan pembeajar dapat dijalankan dengan berkesan. Kursus-kursus komputer diberikan secara berterusan  Proses pengajaran memperalatkan ICT menuntut guru berkemahiran dalam membina persembahan dan mengintegrasikan multimedia sekurang-kurangnya menggunakan Powerpoint dengan input-input seperti rakaman suara, memasukan video, grafik dan bunyi mengikut kreativiti guru.tetapi tidak semua bahan pengajaran telah tersedia untuk digunakan terus. Dengan adanya kemahiran komputer, guru dapat mencurahkan ilmu dan kemahiran dalam subjek masing-masing dan kaedah pengajaran dapat dipelbagaikan.

Penggunaan komputer bukan sahaja digunakan untuk guru-guru matematik dan sains tetapi ianya dapat dijadikan contoh atau panduan kepada guru mata pelajaran sains ataupun untuk guru mata pelajaran yang lain dalam membantu para guru menggunakan kaedah pembelajaran menggunakan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini secara tidak langsung akan meningkatkan kemahiran guru menggunakan dan mengendalikan alatan komputer. Selaras dengan matlamat kementerian dan Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengeluarkan peruntukkan yang besar bagi melaksanakan projek penbestarian sekolah-sekolah di Malaysia.